Parkinson: Apakah Gejala dan Puncanya
Antara hakikat yang sukar dan perit diterima ialah apabila disahkan menghidap penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit orang tua pada usia muda seperti Parkinson. Walaupun biasanya Parkinson dihidapi golongan tua berumur 60 tahun ke atas tetapi ia juga dilaporkan berlaku pada orang muda berusia 20-an.
Penyakit Parkinson sangat mudah dikenali kerana ia menyebabkan anggota badan pesakit seperti tangan atau kaki mengalami gejala menggeletar. Hampir 70% pesakit mengalami sedikit getaran pada tangan atau kaki yang boleh berlaku pada sebelah badan saja dan biasanya lebih ketara ketika otot berehat.Gejala getaran ini boleh beralih ke anggota lain apabila penyakit menjadi semakin teruk. Secara umumnya lebih 95% kes Parkinson berlaku pada warga emas berumur 60 tahun ke atas manakala 5% lagi menyerang pesakit muda. Jika ia berlaku pada orang muda, pesakit lebih menderita kerana Parkinson akan menjadi lebih buruk dan teruk dengan peningkatan usia.
Gejala Parkinson
Parkinson menyebabkan sel saraf otak yang mengawal pergerakan otot kehilangan fungsinya (dan mengakibatkan anggota yang dikawal saraf berkenaan sentiasa bergerak). Ia adalah satu proses berterusan dan inilah sebabnya gejala penyakit akan bertambah buruk apabila umur meningkat.Antara gejala biasa Parkinson ialah:* Otot menjadi kaku kerana keanjalan otot berkurang, menjadi tegang dan sukar digerakkan.* Bradikinesia - keadaan apabila pergerakan pesakit menjadi perlahan, pergerakan mungkin tidak lengkap, sukar memulakan pergerakan dan berhenti bergerak secara tiba-tiba tanpa dapat dikawal.* Hilang keseimbangan, koordinasi dan bentuk tubuh - ia menyebabkan pesakit mudah jatuh, sukar mengubah kedudukan atau melakukan pergerakan mengejut.
Punca Parkinson
Parkinson dipercayai disebabkan ketidakseimbangan bahan kimia otak dipanggil dopamin yang bertugas menghantar isyarat untuk menentukan pergerakan kita. Bagaimana ketidakseimbangan ini berlaku, tiada siapa tahu dan hampir 95% kes tidak diketahui puncanya. Ini sebabnya Parkinson masih dianggap penyakit misteri.Sehingga kini dianggarkan ada 10,000 pesakit Parkinson di negara kita tetapi jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai pesakit tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, terutama yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.
0 comments:
Post a Comment